JABATAN ALAM SEKITAR, TAMAN DAN REKREASI
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN
MAJLIS PELANCARAN TRASH SKIMMER BOATS
DI BAWAH
PROJEK PEMBERSIHAN SUNGAI BRUNEI BAGI TEMPOH TIGA (3) TAHUN
18 Mac 2024, Bandar Seri Begawan
|
TAMAN MAHKOTA JUBLI EMAS, Isnin, 18 Mac 2024 – Jabatan Alam Sekitar, Taman danRekreasi pagi tadi mengadakan Majlis Pelancaran Trash Skimmer Boats di bawah Projek Pembersihan Sungai Brunei Bagi Tempoh Tiga (3) Tahun di Jeti Darussalam, Taman Mahkota Jubli Emas.
|
Hadir untuk merasmikan pelancaran trash skimmer boat tersebut ialah Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan.
|
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran dan diikuti dengan pelancaran trash tkimmer boats dan demonstrasi pengendalian trash skimmer boat dalam mengutip sampah-sampah terapung di Sungai Kedayan oleh Tetamu Kehormat.
Turut hadir ialah Dayang Hajah Martinah binti Haji Tamit, Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi serta wakil-wakil dari pihak kontraktor yang dilantik.
|
Projek Pembersihan Sungai Brunei pada masa ini merangkumi kutipan sampah terapung di sepanjang Sungai Brunei dan di beberapa anak-anak sungai utama dengan cara disiut menggunakan jaring penyiut yang dilakukan oleh sekurang-kurangnya seorang pekerja dan dibantu oleh pemandu bot. Hanya enam (6) buah bot kecil yang digunakan setiap hari meronda keliling perairan Sungai Brunei Kampong Ayer untuk mengutip sampah.
Sebagai usaha pihak kerajaan bagi meningkatkan keberkesanan pembersihan Sungai Brunei, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi telah melaksanakan Projek Pembersihan Sungai Brunei dengan menyeluruh hingga ke kawasan perairan Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien bagi tempoh tiga (3) tahun. Projek ini, yang juga merupakan satu inisiatif di bawah Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan (JIIK), akan menggunakan teknologi bot terkini dan berkeupayaan tinggi yang lebih efektif dan efesien dalam pengutipan sampah iaitu dua (2) trash skimmer boats dilengkapi dengan penghantar
mesh yang tahan lasak (heavy duty mesh conveyor), empat (4) bot scavenger, empat (4) bot kerja (work boats) dan satu (1) tongkang pontoon mengutip sisa yang bermotor (motorized waste collection pontoon barge) dan konveyor boleh alih yang tahan lasak (movable heavy duty conveyor) untuk membuang sampah, termasuk penghadang sampah (floating debris booms) yang berkualiti tinggi untuk ditempatkan di kawasan-kawasan strategik.
|
Berdasarkan rekod kutipan yang telah dilaksanakan selama ini, pelbagai jenis sampah telah dikutip dari Sungai Brunei termasuk botol plastik, tin, bekas plastik, beg plastik, alas kaki dan juga barangan bilik rumah seperti bantal. Pihak Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi menyeru kepada orang ramai supaya lebih bertimbang rasa dan beringat dalam menjaga kebersihan Sungai Brunei bukan sahaja memandangkan ianya merupakan salah satu tarikan pelancong yang popular di negara ini malah ia boleh mencerminkan ciri-ciri masyarakat Brunei. Menjaga kebersihan alam sekitar adalah tanggungjawab setiap orang di mana pihak kerajaan dan orang ramai memainkan peranan masing-masing melalui pendekatan senegara, dalam kita membina komuniti yang berpengetahuan, bertanggungjawab dan bersih. Orang ramai turut dinasihatkan untuk melaporkan kes-kes pembuangan haram di tempat awam ke Talian Darussalam 123 untuk tindakan lanjut.